Tuesday, 5 December 2017

FAKE BRACES...BAHAYAKAH?



Pendakap gigi atau braces adalah alatan yang dipasang pada gigi dengan tujuan untuk merawat kedudukan gigi yang tidak normal. Rawatan ini di jalankan oleh Pakar Orthodontik atau doktor gigi yang bertauliah di klinik pergigian berdaftar dengan menggunakan peralatan yang selamat dan disterilasi.
Sejak kebelakangan ini, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab (vendor fake braces) menawarkan perkhidmatan braces dengan harga yang murah, yang kononnya dapat memperbetulkan kedudukan gigi. Braces yang di pasang oleh mereka yang tidak bertauliah ini di kenali sebagai fake braces. Lazimnya, fake braces ini dipasang  bukan di klinik pergigian berdaftar, sebaliknya dipasang di hotel, rumah persendiriran, motel dan premis-premis perniagaan seperti pusat kecantikan.

Apakah perbezaan antara cara pemasangan pendakap gigi oleh Pakar Orthodontik dengan pihak tidak bertauliah?
Pihak yang tidak bertanggungjawab (vendor fake braces) menawarkan perkhidmatan pemasangan fake braces tidak mempunyai kelulusan dari institusi pengajian tinggi di dalam jurusan pergigian dan hanya mempelajari teknik pemasangan alat pendakap gigi di Youtube.

Pelbagai teknik yang dilakukan mereka bagi menarik minat orang ramai di laman sosial untuk mendapatkan perkhidmatan mereka. Antaranya dengan mengaburi pemikiran orang awam, kononnya mereka menawarkan “real braces” atau “original braces”. Rawatan braces bukan hanya terletak pada alatan pendakap gigi, tetapi keseluruhanya memerlukan penelitian dari pelbagai aspek termasuk tahap kesihatan pesakit, bentuk muka, struktur rahang, jenis maloklusi, dan masalah pergigian pesakit.

Pesakit mesti mempunyai tahap kebersihan mulut yang baik, tanpa masalah gusi dan kerosakan gigi. Pakar Orthodontik akan melakukan analisa terhadap x-ray dan model kajian gigi pesakit, seterusnya merancang jenis dan cara rawatan yang sewajarnya terhadap pesakit. Pemasangan braces akan dibuat di atas kerusi pergigian menggunakan peralatan yang selamat, biocompatible, bersih dan telah dinyahkuman.

Manakala, rawatan fake braces dilakukan dengan pesakit berbaring di atas katil samada di rumah, hotel atau di pusat kecantikan. Lokasi operasi berpindah dari satu lokasi ke satu lokasi untuk mengelakkan dari dijejaki oleh pegawai penguatkuasa. Fake braces ini dipasang tanpa mengambil kira tahap kesihatan gigi pesakit. Peralatan yang digunakan pula tidak dinyahkuman. Oleh itu pemasangan fake braces ini akan terdedah kepada risiko penyakit berjangkit seperti Hepatitis B atau HIV.


Berapa lamakah tempoh rawatan braces dan perlukah pesakit menghadiri rawatan susulan?
Pesakit perlu menghadiri rawatan susulan selepas pemakaian braces setiap 6-8 minggu. Pakar Orthodontik akan membuat pemeriksaan dan mengaktifkan braces berkenaan mengikut keperluan dan pada tahap tekanan yang optima. Keseluruhannya rawatan mengambil masa lebih kurang 2-3 tahun.

Manakala temujanji pemasangan fake braces biasanya dibuat melalui aplikasi Instagram, whatsapp, wechat, facebook dan sebagainya. Lawatan susulan selepas pemasangan fake braces pula disebut sebagai servis oleh vendor fake braces. Kebiasaannya, servis hanya ditawarkan 1-2 kali selepas pemasangan fake braces. Selepas itu, vendor akan melarikan diri dan tidak dapat dihubungi.

Pada setiap kali servis, hanya warna getah pengikat yang ditukar. Terdapat juga vendor yang meletakkan getah berantai yang boleh mengakibatkan pergerakan gigi yang tidak diingini sekiranya pengguanaan tanpa kawalan.


Bagaimanakah gigi bergerak selepas memakai pendakap gigi?
Apabila gigi diberi tekanan pada suatu jangkamasa, ia akan bergerak. Pakar Orthodontik akan menggunakan pengetahuannya untuk menggerakkan gigi kepada kedudukan yang diingini dalam keadaan terkawal. Berat tekanan yang diberikan juga memainkan peranan.
Dalam penggunaan braces, tekanan yang diberikan adalah bergantung kepada kedudukan braket dan jenis wayar yang digunakan. Tekanan yang terlalu tinggi akan membawa kepada kerosakan gigi, gusi dan tulang.

Manakala, vendor fake braces pula tidak memahami dari konteks teori pergerakan gigi. Mana mungkin mereka tahu jumlah tekanan yang bersesuaian dalam menggerakkan gigi. Tekanan tanpa kawalan yang dikenakan pada gigi dengan pemakaian fake braces boleh mengakibatkan gigi menjadi longgar atau terkeluar dari arkus dan soket gigi.


Adakah pemasangan braces itu menyakitkan?
Pemasangan braces adalah tidak menyakitkan.

Ini adalah kerana braces hanya diletakkan pada permukaan gigi sahaja. Tetapi sekiranya wayar yang aktif diikat pada braces dan tekanan yang diberikan pada gigi tanpa kawalan, ianya boleh menyebabkan  gigi menjadi sakit sehingga sakit kepala. Kebanyakkan pemakai fake braces akan mengalami masalah ini. Ada juga fake braces diletakkan tanpa tekanan aktif yang tidak menimbulkan sakit tetapi boleh menyebahkan kerosakan pada gigi sekiranya tidak dijaga dengan betul.

Rawatan braces yang diberikan oleh pakar orthodontik dan doktor gigi adalah selamat. Setiapkali pengaktifan dilakukan pada braces, pesakit mungkin akan berasa sakit yang minimal kerana pergerakan gigi terkawal.


Berapakah kos rawatan braces di klinik pergigian swasta dan kerajaan?
Tidak dinafikan bahawa kos rawatan braces agak tinggi di klinik pergigian swasta. Manakala di klinik pergigian kerajaan pula, walaupun bayaran disubsidi dengan tinggi, tetapi masa menunggu untuk mendapatkan rawatan adalah agak lama.

Kos di klinik pergigian swasta adalah antara RM5-10 ribu bagi keseluruhan rawatan orthodontik, iaitu dari pemasangan braces, dan kesemua rawatan susulan sebanyak lebih kurang 24 kali lawatan sehinggalah pembukaan pendakap gigi dan pembekalan alat ‘retainer’. Jika dibuat pengiraan kos nya adalah berbaloi kerana bahan dan rawatan diberikan berkualiti dan terjamin.
Kos pemasangan fake braces pula ada mencecah RM500-1000, tanpa rawatan susulan. Pesakit terdedah dengan pelbagai risiko masalah gigi. Sekiranya gigi tercabut atau mati dalam tempoh pemakaian fake braces, pesakit akan menanggung kos lain untuk membuat rawatan gigi di klinik pergigian pula. Pelbagai janji manis dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi menyakinkan pelanggan memakai fake braces.

Malangnya, setelah fake braces dipasang tiada rawatan susulan diberikan, dan jika pelanggan meminta untuk membuka kembali fake braces tersebut, vendor braces itu akan menghilangkan diri. Mereka hanya boleh memasang sahaja, tetapi, tidak boleh menanggalkan fake braces tersebut. Ini adalah kerana mereka tidak mempunyai kerusi pergigian seperti di klinik bagi melakukan prosedur tersebut dengan baik. Malahan, vendor akan menipu pelanggannya dengan menyakinkan mereka bahawa simen pelekat itu akan tertanggal dengan sendirinya. Akhirnya pelanggan akan mengalami masalah gigi kerana permukaan gigi yang kasar kesan daripada simen pelekat tersebut. Pemakaian fake braces hanya akan merugikan pelanggan dari segi kesihatan gigi dan juga kewangan pelanggan. Lazimnya, vendor ini akan menghilangkan diri atau lari setelah pelanggan mencari mereka semula apabila sedar yang fake braces mempunyai masalah.


Apakah komplikasi pemakaian fake braces?
Pemakaian fake braces terdedah dengan pelbagai risiko dan komplikasi. Antaranya, gigi akan menjadi goyang, gigi terkeluar dari soket, karies gigi, gusi membengkak, mulut berbau, dan ulcer mulut. Gigi yang tidak teratur boleh menjadi lebih tidak tersusun. Ini adalah kerana tiada pemeriksaan terhadap tahap kesihatan gigi dibuat sebelum pemasangan fake braces dan juga sepanjang pelanggan memakai fake braces. Antara risiko lain yang lebih serius adalah pelanggan fake braces ini terdedah kepada penyakit berjangkit seperti hepatitis B dan HIV kerana peralatan pemasangan yang digunakan tidak disterilasikan selepas digunakan antara pelanggan.


Kenapakah pemakaian fake braces berleluasa?
Masalah fake braces berleluasa kerana orang ramai terpedaya dengan tawaran murah dan testimoni palsu yang dibuat oleh vendor fake braces. Selain itu, permintaan yang tinggi daripada pelanggan yang mahukan perkhidmatan braces, membuka ruang  pihak tidak bertanggungjawab ini untuk mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menawarkan fake braces. Bagi mereka, ini adalah cara mudah untuk mendapatkan wang.

Iklan menawarkan fake braces banyak dimuatnaik di media sosial seperti facebook dan Instagram. Ada yang menggunakan ilustrasi model-model bagi mempengaruhi orang ramai. Mereka yang obsess dengan iklan-iklan barangan kosmetik dan kecantikan adalah golongan yang akan mudah terpengaruh dengan penipuan iklan fake braces ini.

Taktik penipuan (scam) juga turut digunakan oleh vendor fake braces. Antaranya ada mengaku yang mereka adalah bekas doktor gigi. Ada pula yang memberi alamat klinik pergigian untuk pemasangan braces, tetapi setibanya pelanggan di depan klinik, mereka membawa pelanggan ke premis lain, dengan alasan kononnya klinik itu sedang direnovasi. Oleh itu jangan terpedaya dengan taktik penipuan mereka dan elakkan dari menjadi mangsa penipuan vendor fake braces ini.


Apa tindakan yang anda boleh ambil sekiranya anda mengesyaki memakai fake braces?
Pemakai fake braces yang telah sedar tentang penipuan ini boleh mendapatkan bantuan di mana-mana klinik pergigian kerajaan atau swasta.

Disediakan oleh:
Dr Suryati Hartini Bt. Mohamed Zini
Pakar Orthodontik,
Klinik Pakar Orthodontik, Jalan Abd Samad, Johor Bahru

No comments:

Post a Comment