Wednesday, 15 February 2017

KARIES BOTOL SUSU

Gigi susu mula muncul di dalam mulut anak anda seawal umur 6 bulan dan pada kebiasaannya gigi hadapan yang akan muncul dahulu. Gigi susu yang baru boleh menjadikan senyuman bayi lebih menawan, dan mereka bukan sahaja kelihatan comel tetapi mereka juga boleh mengunyah makanan, bercakap dengan betul dan memastikan gigi kekal tumbuh dengan teratur. Walau bagaimanapun, gigi hadapan bayi anda juga sangat mudah terdedah kepada penyakit utama kanak-kanak iaitu kerosakan gigi/karies gigi.

Karies gigi, atau dikenali sebagai gigi berlubang; boleh muncul sebagai tompok coklat atau gelap pada gigi anak anda. Ini terhasil daripada interaksi tiga hala yang kompleks antara bakteria, makanan, dan permukaan gigi. Gigi yang rosak ini tidak kelihatan baik, dan mungkin menyebabkan kesakitan, dan ini boleh membawa kepada komplikasi lain seperti bengkak, kesukaran untuk makan, atau nafas berbau. Malangnya, kerosakan gigi boleh berlaku kepada kanak-kanak dengan gigi baru seawal usia 1 tahun.
                 
Penyusuan menggunakan botol susu, merupakan penyumbang utama kepada peningkatan kerosakan gigi kanak-kanak, dan ia juga dikenali sebagai 'Karies Botol Susu’. Seperti namanya, sumber itu dapat dikesan langsung daripada penyusuan menggunakan botol susu. Ini terhasil daripada pendedahan gigi susu yang berterusan kepada gula dari susu atau lain-lain. Kategori karies gigi ini kebiasaannya terjadi pada gigi susu hadapan, walaupun gigi lain juga boleh terjejas. Gigi susu atas hadapan, biasanya akan kekal sehingga berumur 7 atau 8 tahun. Ini mungkin tidak kelihatan seperti kesan masa panjang, tetapi kerosakan pada gigi ini biasanya berlaku awal dan boleh mempunyai kesan yang berkekalan.

Pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati. Kepada ibu-bapa sekalian, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan karies botol susu ini terjadi kepada anak-anak anda :

1. Periksa gigi susu dan mulut anak anda dengan lebih kerap. Ibu-bapa digalakkan untuk mengangkat bibir anak anda untuk memeriksa gigi susu hadapan sekurang-kurangnya sekali sehari. Pastikan anda mendapatkan pencahayaan yang baik ketika melakukan pemeriksaan.

2. Pastikan mulut anak anda sentiasa bersih. Ibu-bapa boleh membantu anak-anak membersihkan gigi dan mulut mereka dengan menggunakan berus gigi atau tuala lembap. Lakukan dengan perlahan agar tidak mencederakan gusi anak anda.

3. Gunakan ubat gigi kanak-kanak ketika membersihkan mulut anak anda. American Dental Association mencadangkan penggunaan ubat gigi kepada kanak-kanak berumur 3 tahun. Berus gigi dua kali sehari ataupun setiap kali selepas makan.

4. Perhatikan anak-anak anda ketika mereka memberus gigi untuk memastikan mereka memberus gigi dengan betul dan pastikan juga mereka meludahkan semula ubat gigi tersebut. (Kanak-kanak suka menelan ubat gigi mereka).

5. Pastikan anak anda tidak tidur bersama dengan botol susu. Alihkan botol susu  selepas anak anda tidur.

6. Hadkan pengambilan gula, gula-gula dan air yang manis dalam kalangan anak-anak anda.

7. Cuba untuk tidak berkongsi sudu atau peralatan lain dengan anak-anak anda untuk mengelakkan perkongsian air liur.

Sekiranya tompokan gelap sudah terbentuk pada gigi susu anak anda, terdapat beberapa rawatan yang boleh dilakukan. Antara rawatan yang boleh dilakukan ialah :

1. Penyapuan florida adalah salah satu rawatan yang boleh dilakukan. Penyapuan florida akan menggalakkan proses mineralisasi gigi terutamanya gigi yang mempunyai tanda-tanda awal karies gigi. Kebiasaannya gel florida ini dalam perisa pisang atau oren akan disapukan kepada gigi yang mempunyai tanda-tanda awal karies dan ibu-bapa dinasihatkan untuk berjumpa doktor gigi semula.

2. Gigi susu yang mempunyai karies boleh ditampal semula dengan bahan-bahan pergigian untuk mengembalikan keadaan asal gigi tersebut.

Rawatan karies botol susu ini selalunya bergantung kepada tahap kerosakan gigi tersebut. Sekiranya tidak dirawat, karies gigi mungkin akan menyebabkan kesakitan kepada anak-anak anda. Cabutan gigi susu pula adalah tidak digalakkan kerana ini akan mengganggu proses semula jadi pertumbuhan gigi kekal.

Kesimpulannya, karies botol susu adalah penyakit yang boleh dicegah awal. Bawa anak-anak anda berjumpa doktor gigi seawal umur setahun ataupun selepas gigi pertama anak-anak anda tumbuh. Pasukan pergigian akan memberikan maklumat yang menyeluruh dan langkah-langkah yang boleh dilakukan kepada anda. Bermula awal adalah kunci kepada kesihatan pergigian yang baik untuk seumur hidup anda.

Dr Nur Sakinah Abdul Halim
Pegawai Pergigian
Klinik Pergigian Parit Jawa, Muar 

No comments:

Post a Comment