Tuesday, 5 December 2017

FAKE BRACES...BAHAYAKAH?



Pendakap gigi atau braces adalah alatan yang dipasang pada gigi dengan tujuan untuk merawat kedudukan gigi yang tidak normal. Rawatan ini di jalankan oleh Pakar Orthodontik atau doktor gigi yang bertauliah di klinik pergigian berdaftar dengan menggunakan peralatan yang selamat dan disterilasi.
Sejak kebelakangan ini, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab (vendor fake braces) menawarkan perkhidmatan braces dengan harga yang murah, yang kononnya dapat memperbetulkan kedudukan gigi. Braces yang di pasang oleh mereka yang tidak bertauliah ini di kenali sebagai fake braces. Lazimnya, fake braces ini dipasang  bukan di klinik pergigian berdaftar, sebaliknya dipasang di hotel, rumah persendiriran, motel dan premis-premis perniagaan seperti pusat kecantikan.

Apakah perbezaan antara cara pemasangan pendakap gigi oleh Pakar Orthodontik dengan pihak tidak bertauliah?
Pihak yang tidak bertanggungjawab (vendor fake braces) menawarkan perkhidmatan pemasangan fake braces tidak mempunyai kelulusan dari institusi pengajian tinggi di dalam jurusan pergigian dan hanya mempelajari teknik pemasangan alat pendakap gigi di Youtube.

Pelbagai teknik yang dilakukan mereka bagi menarik minat orang ramai di laman sosial untuk mendapatkan perkhidmatan mereka. Antaranya dengan mengaburi pemikiran orang awam, kononnya mereka menawarkan “real braces” atau “original braces”. Rawatan braces bukan hanya terletak pada alatan pendakap gigi, tetapi keseluruhanya memerlukan penelitian dari pelbagai aspek termasuk tahap kesihatan pesakit, bentuk muka, struktur rahang, jenis maloklusi, dan masalah pergigian pesakit.

Pesakit mesti mempunyai tahap kebersihan mulut yang baik, tanpa masalah gusi dan kerosakan gigi. Pakar Orthodontik akan melakukan analisa terhadap x-ray dan model kajian gigi pesakit, seterusnya merancang jenis dan cara rawatan yang sewajarnya terhadap pesakit. Pemasangan braces akan dibuat di atas kerusi pergigian menggunakan peralatan yang selamat, biocompatible, bersih dan telah dinyahkuman.

Manakala, rawatan fake braces dilakukan dengan pesakit berbaring di atas katil samada di rumah, hotel atau di pusat kecantikan. Lokasi operasi berpindah dari satu lokasi ke satu lokasi untuk mengelakkan dari dijejaki oleh pegawai penguatkuasa. Fake braces ini dipasang tanpa mengambil kira tahap kesihatan gigi pesakit. Peralatan yang digunakan pula tidak dinyahkuman. Oleh itu pemasangan fake braces ini akan terdedah kepada risiko penyakit berjangkit seperti Hepatitis B atau HIV.


Berapa lamakah tempoh rawatan braces dan perlukah pesakit menghadiri rawatan susulan?
Pesakit perlu menghadiri rawatan susulan selepas pemakaian braces setiap 6-8 minggu. Pakar Orthodontik akan membuat pemeriksaan dan mengaktifkan braces berkenaan mengikut keperluan dan pada tahap tekanan yang optima. Keseluruhannya rawatan mengambil masa lebih kurang 2-3 tahun.

Manakala temujanji pemasangan fake braces biasanya dibuat melalui aplikasi Instagram, whatsapp, wechat, facebook dan sebagainya. Lawatan susulan selepas pemasangan fake braces pula disebut sebagai servis oleh vendor fake braces. Kebiasaannya, servis hanya ditawarkan 1-2 kali selepas pemasangan fake braces. Selepas itu, vendor akan melarikan diri dan tidak dapat dihubungi.

Pada setiap kali servis, hanya warna getah pengikat yang ditukar. Terdapat juga vendor yang meletakkan getah berantai yang boleh mengakibatkan pergerakan gigi yang tidak diingini sekiranya pengguanaan tanpa kawalan.


Bagaimanakah gigi bergerak selepas memakai pendakap gigi?
Apabila gigi diberi tekanan pada suatu jangkamasa, ia akan bergerak. Pakar Orthodontik akan menggunakan pengetahuannya untuk menggerakkan gigi kepada kedudukan yang diingini dalam keadaan terkawal. Berat tekanan yang diberikan juga memainkan peranan.
Dalam penggunaan braces, tekanan yang diberikan adalah bergantung kepada kedudukan braket dan jenis wayar yang digunakan. Tekanan yang terlalu tinggi akan membawa kepada kerosakan gigi, gusi dan tulang.

Manakala, vendor fake braces pula tidak memahami dari konteks teori pergerakan gigi. Mana mungkin mereka tahu jumlah tekanan yang bersesuaian dalam menggerakkan gigi. Tekanan tanpa kawalan yang dikenakan pada gigi dengan pemakaian fake braces boleh mengakibatkan gigi menjadi longgar atau terkeluar dari arkus dan soket gigi.


Adakah pemasangan braces itu menyakitkan?
Pemasangan braces adalah tidak menyakitkan.

Ini adalah kerana braces hanya diletakkan pada permukaan gigi sahaja. Tetapi sekiranya wayar yang aktif diikat pada braces dan tekanan yang diberikan pada gigi tanpa kawalan, ianya boleh menyebabkan  gigi menjadi sakit sehingga sakit kepala. Kebanyakkan pemakai fake braces akan mengalami masalah ini. Ada juga fake braces diletakkan tanpa tekanan aktif yang tidak menimbulkan sakit tetapi boleh menyebahkan kerosakan pada gigi sekiranya tidak dijaga dengan betul.

Rawatan braces yang diberikan oleh pakar orthodontik dan doktor gigi adalah selamat. Setiapkali pengaktifan dilakukan pada braces, pesakit mungkin akan berasa sakit yang minimal kerana pergerakan gigi terkawal.


Berapakah kos rawatan braces di klinik pergigian swasta dan kerajaan?
Tidak dinafikan bahawa kos rawatan braces agak tinggi di klinik pergigian swasta. Manakala di klinik pergigian kerajaan pula, walaupun bayaran disubsidi dengan tinggi, tetapi masa menunggu untuk mendapatkan rawatan adalah agak lama.

Kos di klinik pergigian swasta adalah antara RM5-10 ribu bagi keseluruhan rawatan orthodontik, iaitu dari pemasangan braces, dan kesemua rawatan susulan sebanyak lebih kurang 24 kali lawatan sehinggalah pembukaan pendakap gigi dan pembekalan alat ‘retainer’. Jika dibuat pengiraan kos nya adalah berbaloi kerana bahan dan rawatan diberikan berkualiti dan terjamin.
Kos pemasangan fake braces pula ada mencecah RM500-1000, tanpa rawatan susulan. Pesakit terdedah dengan pelbagai risiko masalah gigi. Sekiranya gigi tercabut atau mati dalam tempoh pemakaian fake braces, pesakit akan menanggung kos lain untuk membuat rawatan gigi di klinik pergigian pula. Pelbagai janji manis dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi menyakinkan pelanggan memakai fake braces.

Malangnya, setelah fake braces dipasang tiada rawatan susulan diberikan, dan jika pelanggan meminta untuk membuka kembali fake braces tersebut, vendor braces itu akan menghilangkan diri. Mereka hanya boleh memasang sahaja, tetapi, tidak boleh menanggalkan fake braces tersebut. Ini adalah kerana mereka tidak mempunyai kerusi pergigian seperti di klinik bagi melakukan prosedur tersebut dengan baik. Malahan, vendor akan menipu pelanggannya dengan menyakinkan mereka bahawa simen pelekat itu akan tertanggal dengan sendirinya. Akhirnya pelanggan akan mengalami masalah gigi kerana permukaan gigi yang kasar kesan daripada simen pelekat tersebut. Pemakaian fake braces hanya akan merugikan pelanggan dari segi kesihatan gigi dan juga kewangan pelanggan. Lazimnya, vendor ini akan menghilangkan diri atau lari setelah pelanggan mencari mereka semula apabila sedar yang fake braces mempunyai masalah.


Apakah komplikasi pemakaian fake braces?
Pemakaian fake braces terdedah dengan pelbagai risiko dan komplikasi. Antaranya, gigi akan menjadi goyang, gigi terkeluar dari soket, karies gigi, gusi membengkak, mulut berbau, dan ulcer mulut. Gigi yang tidak teratur boleh menjadi lebih tidak tersusun. Ini adalah kerana tiada pemeriksaan terhadap tahap kesihatan gigi dibuat sebelum pemasangan fake braces dan juga sepanjang pelanggan memakai fake braces. Antara risiko lain yang lebih serius adalah pelanggan fake braces ini terdedah kepada penyakit berjangkit seperti hepatitis B dan HIV kerana peralatan pemasangan yang digunakan tidak disterilasikan selepas digunakan antara pelanggan.


Kenapakah pemakaian fake braces berleluasa?
Masalah fake braces berleluasa kerana orang ramai terpedaya dengan tawaran murah dan testimoni palsu yang dibuat oleh vendor fake braces. Selain itu, permintaan yang tinggi daripada pelanggan yang mahukan perkhidmatan braces, membuka ruang  pihak tidak bertanggungjawab ini untuk mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menawarkan fake braces. Bagi mereka, ini adalah cara mudah untuk mendapatkan wang.

Iklan menawarkan fake braces banyak dimuatnaik di media sosial seperti facebook dan Instagram. Ada yang menggunakan ilustrasi model-model bagi mempengaruhi orang ramai. Mereka yang obsess dengan iklan-iklan barangan kosmetik dan kecantikan adalah golongan yang akan mudah terpengaruh dengan penipuan iklan fake braces ini.

Taktik penipuan (scam) juga turut digunakan oleh vendor fake braces. Antaranya ada mengaku yang mereka adalah bekas doktor gigi. Ada pula yang memberi alamat klinik pergigian untuk pemasangan braces, tetapi setibanya pelanggan di depan klinik, mereka membawa pelanggan ke premis lain, dengan alasan kononnya klinik itu sedang direnovasi. Oleh itu jangan terpedaya dengan taktik penipuan mereka dan elakkan dari menjadi mangsa penipuan vendor fake braces ini.


Apa tindakan yang anda boleh ambil sekiranya anda mengesyaki memakai fake braces?
Pemakai fake braces yang telah sedar tentang penipuan ini boleh mendapatkan bantuan di mana-mana klinik pergigian kerajaan atau swasta.

Disediakan oleh:
Dr Suryati Hartini Bt. Mohamed Zini
Pakar Orthodontik,
Klinik Pakar Orthodontik, Jalan Abd Samad, Johor Bahru

Wednesday, 15 February 2017

KARIES BOTOL SUSU

Gigi susu mula muncul di dalam mulut anak anda seawal umur 6 bulan dan pada kebiasaannya gigi hadapan yang akan muncul dahulu. Gigi susu yang baru boleh menjadikan senyuman bayi lebih menawan, dan mereka bukan sahaja kelihatan comel tetapi mereka juga boleh mengunyah makanan, bercakap dengan betul dan memastikan gigi kekal tumbuh dengan teratur. Walau bagaimanapun, gigi hadapan bayi anda juga sangat mudah terdedah kepada penyakit utama kanak-kanak iaitu kerosakan gigi/karies gigi.

Karies gigi, atau dikenali sebagai gigi berlubang; boleh muncul sebagai tompok coklat atau gelap pada gigi anak anda. Ini terhasil daripada interaksi tiga hala yang kompleks antara bakteria, makanan, dan permukaan gigi. Gigi yang rosak ini tidak kelihatan baik, dan mungkin menyebabkan kesakitan, dan ini boleh membawa kepada komplikasi lain seperti bengkak, kesukaran untuk makan, atau nafas berbau. Malangnya, kerosakan gigi boleh berlaku kepada kanak-kanak dengan gigi baru seawal usia 1 tahun.
                 
Penyusuan menggunakan botol susu, merupakan penyumbang utama kepada peningkatan kerosakan gigi kanak-kanak, dan ia juga dikenali sebagai 'Karies Botol Susu’. Seperti namanya, sumber itu dapat dikesan langsung daripada penyusuan menggunakan botol susu. Ini terhasil daripada pendedahan gigi susu yang berterusan kepada gula dari susu atau lain-lain. Kategori karies gigi ini kebiasaannya terjadi pada gigi susu hadapan, walaupun gigi lain juga boleh terjejas. Gigi susu atas hadapan, biasanya akan kekal sehingga berumur 7 atau 8 tahun. Ini mungkin tidak kelihatan seperti kesan masa panjang, tetapi kerosakan pada gigi ini biasanya berlaku awal dan boleh mempunyai kesan yang berkekalan.

Pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati. Kepada ibu-bapa sekalian, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan karies botol susu ini terjadi kepada anak-anak anda :

1. Periksa gigi susu dan mulut anak anda dengan lebih kerap. Ibu-bapa digalakkan untuk mengangkat bibir anak anda untuk memeriksa gigi susu hadapan sekurang-kurangnya sekali sehari. Pastikan anda mendapatkan pencahayaan yang baik ketika melakukan pemeriksaan.

2. Pastikan mulut anak anda sentiasa bersih. Ibu-bapa boleh membantu anak-anak membersihkan gigi dan mulut mereka dengan menggunakan berus gigi atau tuala lembap. Lakukan dengan perlahan agar tidak mencederakan gusi anak anda.

3. Gunakan ubat gigi kanak-kanak ketika membersihkan mulut anak anda. American Dental Association mencadangkan penggunaan ubat gigi kepada kanak-kanak berumur 3 tahun. Berus gigi dua kali sehari ataupun setiap kali selepas makan.

4. Perhatikan anak-anak anda ketika mereka memberus gigi untuk memastikan mereka memberus gigi dengan betul dan pastikan juga mereka meludahkan semula ubat gigi tersebut. (Kanak-kanak suka menelan ubat gigi mereka).

5. Pastikan anak anda tidak tidur bersama dengan botol susu. Alihkan botol susu  selepas anak anda tidur.

6. Hadkan pengambilan gula, gula-gula dan air yang manis dalam kalangan anak-anak anda.

7. Cuba untuk tidak berkongsi sudu atau peralatan lain dengan anak-anak anda untuk mengelakkan perkongsian air liur.

Sekiranya tompokan gelap sudah terbentuk pada gigi susu anak anda, terdapat beberapa rawatan yang boleh dilakukan. Antara rawatan yang boleh dilakukan ialah :

1. Penyapuan florida adalah salah satu rawatan yang boleh dilakukan. Penyapuan florida akan menggalakkan proses mineralisasi gigi terutamanya gigi yang mempunyai tanda-tanda awal karies gigi. Kebiasaannya gel florida ini dalam perisa pisang atau oren akan disapukan kepada gigi yang mempunyai tanda-tanda awal karies dan ibu-bapa dinasihatkan untuk berjumpa doktor gigi semula.

2. Gigi susu yang mempunyai karies boleh ditampal semula dengan bahan-bahan pergigian untuk mengembalikan keadaan asal gigi tersebut.

Rawatan karies botol susu ini selalunya bergantung kepada tahap kerosakan gigi tersebut. Sekiranya tidak dirawat, karies gigi mungkin akan menyebabkan kesakitan kepada anak-anak anda. Cabutan gigi susu pula adalah tidak digalakkan kerana ini akan mengganggu proses semula jadi pertumbuhan gigi kekal.

Kesimpulannya, karies botol susu adalah penyakit yang boleh dicegah awal. Bawa anak-anak anda berjumpa doktor gigi seawal umur setahun ataupun selepas gigi pertama anak-anak anda tumbuh. Pasukan pergigian akan memberikan maklumat yang menyeluruh dan langkah-langkah yang boleh dilakukan kepada anda. Bermula awal adalah kunci kepada kesihatan pergigian yang baik untuk seumur hidup anda.

Dr Nur Sakinah Abdul Halim
Pegawai Pergigian
Klinik Pergigian Parit Jawa, Muar 

BOTTLE TOOTH DECAY

Baby teeth could start showing up in your little tot’s mouth from as early as 6 months old. More often than not, it’s the front teeth that begin to show. The brand new pearly whites may brighten up your baby’s smile, and they don’t only look adorable, but they also help chew food, speak correctly, and make sure the adult teeth come out correctly. However,  your baby’s front teeth are also very susceptible to the no.1 leading disease in small children: Tooth decay.

Tooth decay, otherwise known as cavities or dental caries; may appear as brown or dark spots in your teeth that are actually rotting holes created by a complex three-way interaction between bacteria, food, and the tooth surface. They don’t look good, they may or may not cause pain, and they may bring about other complications such as swelling, difficulty in eating, or even bad breath.  Unfortunately, tooth decay could happen to children with new teeth from as young as 1 year old.

Bottle feeding is a major contributor to the rising number of tooth decay in children, so much so that dental care workers are calling it ‘Bottle Tooth Decay’. As the name suggests, the source can be traced directly back to bottle feeding thanks to prolonged exposure of the baby’s teeth to sugar from milk or etc. This particular category of decay is concentrated mainly at the upper front baby tooth, although other teeth can also be affected. The upper front teeth, or incissors, typically stay on until 7 or 8 years old. That may not seem like a long time, but damage to these teeth usually occur early and can have a lasting effect.

Prevention is better than cure! Fret not, parents, as there’s a way to get around bottle tooth decay.  Below are the major preventive steps:
1.         Check your baby’s teeth regularly! Parents are encouraged to lift up the baby’s lips to check the front teeth once every day. Make sure to use good lighting.
2.         Keep your children’s mouth clean. Parents could help clean their children’s teeth as soon as they begin to erupt. Use soft children’s toothbrush or a clean damp towel to rub at the teeth and the gum area. Do it softly, so as not to traumatise the gums.
3.         Use a smear of fluoridated childrens’ toothpaste to help clean the teeth. The American Dental Association recommends using a pea-sized toothpaste once your children are 3 years old. Clean the teeth twice a day, or after feeding.
4.         Your children’s toothbrushing should be supervised to ensure that they clean properly, and that they spit out the toothpaste. Discourage your children from swallowing toothpaste.
5.           Try not to let your baby sleep with the feeding bottle. Make sure to take out the bottle once they’ve fallen asleep.
6.         Limit your children’s intake of sugar, sweets, and juices/acidic drinks. You could also try substituting water for the formula milk or other sweetened drinks in your baby’s feeding bottle.
7.         Try not to share saliva with the baby through common use of feeding spoon or pacifiers.

If the dark spots have already begun their teeth invasion, there are various treatments available that aren’t necessarily invasive. However, it is imperative that you bring your children to see the dentist as soon as possible. The following are some of the treatments available:
1.         Topical fluoride application is a painless method to encourage remineralisation of teeth with minimal caries. These banana or orange-flavoured gel is applied directly onto the affected teeth, and parents are generally advised to return for a second or third application.
2.         Carious baby teeth could be restored using filling material to look almost brand-new.

            Dental treatment on bottle tooth decay often depend on the severity of the disease. If left untreated, the decay might progress and cause pain or swelling. Extraction might not be necessary as studies have shown that asymptomatic carious deciduous teeth can remain painless up to the point of exfoliation. This is provided that a rigorous oral hygiene regime is set in place.

In conclusion, baby tooth decay is a preventable disease. Bring your baby or toddler for their first dental visit when their first teeth have erupted. The dental care team could provide you with detailed insight on your baby’s oral condition, and further care instructions that are tailored around your loved one.  Remember: starting early is the key to a lifetime of good dental health.
           
Dr Nur Sakinah Abdul Halim
Pegawai Pergigian 
Klinik Pergigian Parit Jawa, Muar 

Tuesday, 7 February 2017

KARIES GIGI DALAM KALANGAN KANAK-KANAK MUSUH UTAMA

TAHUKAH ANDA SEMUA???
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh World Health Organisation (WHO) Karies gigi adalah penyakit kronik yang paling utama dalam kalangan kanak-kanak. 

APAKAH ITU KARIES GIGI???
Karies gigi adalah penyakit yang mengakibatkan kerosakan pada permukaan atau celah gigi apabila plak gigi tidak dibersihkan dalam tempoh masa tertentu. Karies gigi juga dikenali sebagai gigi berlubang.

KESAN-KESAN KARIES GIGI
Karies gigi boleh menyebabkan jangkitan pada gigi dan gusi, gigi sensitif terhadap suhu panas atau sejuk serta makanan manis. Selain itu karies gigi juga boleh mengakibatkan bengkak pipi, bernanah, gigi patah dan sakit berdenyut.

FAKTOR-FAKTOR PENYEBAB KARIES GIGI
Terdapat empat komponen penting yang menyebabkan terjadinya karies gigi. Empat komponen penting itu adalah
i) Bakteria (yang selalunya terkandung dalam plak gigi)
ii) Gula (memberikan nutrien kepada bakteria untuk menyerang gigi)
iii) Gigi (karies gigi tidak akan terjadi pada gigi palsu)
iv) Masa (karies gigi tidak akan terjadi dalam jangka masa yang singkat)
Sekiranya keempat-empat elemen ini bergabung, maka karies gigi akan/boleh berlaku

APA YANG PERLU DILAKUKAN???
Selaku ibu-bapa/penjaga, kita perlu bantu anak-anak kita dalam menjaga kesihatan gigi mereka. Bantu mereka dengan cara mudah ini :
i) Bantu / pantau mereka dalam memberus gigi mereka sekurang-kurangnya dua kali sehari
ii) Bawa mereka ke klinik pergigian berdekatan untuk mendapatkan pemeriksaan gigi sekurang-kurangnya setahun sekali.

Kami Sedia Membantu

Monday, 6 February 2017

SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI BAHAGIAN KESIHATAN PERGIGIAN NEGERI JOHOR

SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI BAHAGIAN KESIHATAN PERGIGIAN NEGERI JOHOR
Kami komited dalam menyampaikan maklumat-maklumat pergigian terkini terus ke skrin komputer dan peranti mudah alih anda.

Blog rasmi ini akan memudahkan anda untuk mengetahui dengan lebih mendalam berkaitan info-info pergigian dan sebarang maklumat berkaitan Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Johor.

Untuk maklumat lebih lanjut dan lebih mendalam boleh hubungi kami di :
BAHAGIAN KESIHATAN PERGIGIAN NEGERI JOHOR
TINGKAT 2, BLOK B,
WISMA PERSEKUTUAN,
JALAN AYER MOLEK
80590 JOHOR BARU, JOHOR
TEL : 07-2245180

Selain daripada blog rasmi ini, Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Johor juga boleh dicapai melalui:
Facebook Page : Bahagian Kesihatan Pergigian Neegri Johor
Youtube Channel : Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Johor

Diharapkan agar dengan kewujudan media-media sosial di bawah Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Johor ini dapat memudahcarakan lagi cara penyampaian maklumat dan info-info yang benar.

Kami Sedia Membantu